Jawaban untuk beberapa perkara

Tuan hamba yang berada jauh nun di sana, hamba titipkan doa agar tuan hamba diberikan kekuatan oleh Tuhan kita dengan kerja-kerja oleh kerajaan langit yang tiada pernah habis itu. Malah, jika sesuatu terjadi kepada tuan hamba, yakinlah Tuhan itu tidak akan mensia-siakan usaha tuan hamba, ya, tidak akan pernah tersia begitu sahaja. Jika tuan hamba kerinduan pada tanah tumpah darah tuan hamba ini, kirimkan sahaja pada angin lalu, insyAllah dengan izin Tuhan, pasti kerinduan itu turut dirasai oleh seluruh penduduk kampung di sini.

Tuan hamba,
Jalan yang kita lalui bukanlah mudah. Tidaklah begitu indah dengan warna pelangi petang. Tidak juga tenang tanpa duri-duri yang ditaburi di jalanan. Tidak juga langkah kita ini diredhai manusia sekeliling. Namun, jalan ini adalah jalan pasti menuju ke syorga. Itulah impian kita sejak dahulu lagi. Tidakkah tuan hamba ingat pada ketika kita berjanji setia, bercucuran air mata kita mengenangkan umat manusia ini yang jatuh ke lembah kehinaan? Mereka menyembah manusia padahal bukankah penyembahan total kepada Tuhan yang Esa itu memberi makna kebebasan abadi yang tiada taranya? Mereka juga tertipu dengan kesempitan dunia padahal akhirat itu luas yang tiada taranya? Mereka juga ternyata selesa di lembah kezaliman jahiliyyah padahal keadilan Islam itu terlalu agung nilainya? Kita berjanji untuk menaikkan semula nilai umat ini ke tempat yang sepatutnya. Janji kita itu masih segar dalam ingatan hamba. InsyaAllah kekal sehingga ditakdirkan olehNya untuk ianya terpadam dari kotak fikiran kita.


Tuan hamba,
Ingin hamba ceritakan tentang keluarga kita sepeninggalan tuan hamba ke lembah bertuah. Keluarga yang mesra dan hangat dengan kasih sayang itu masih lagi mesra hangat kasih sayangnya. Itu hamba rasakan tidak berubah selagi kita masih berkeluarga. Cuma, amatlah terasa di celahan hati hamba dengan kesibukan antara kita hingga melupakan perkara-perkara penting dalam hidup kita ini. Dengan pelbagai tanggungjawab yang terbeban di atas pundak ini, kadang-kadang hamba juga lelah. Malah, mungkin terkadang hampir berputus asa. Namun, janji kita ini mengingatkan hamba agar terus asa. Sepurnama hamba menderita sakit kerana kelelahan ini dan bonda tidaklah tahu menahu tentang hal ini. Puncanya hati hamba ini tidak terisi dengan cahaya iman yang seadanya. Pertemuan-pertemuan kita hamba rasakan gagal mengulang pengalaman kita yang lalu. Arakian hamba menceritakan ini pada tuan hamba, janganlah berasa sedih kerana sudah ditakdirkan olehNya untuk suratan hamba melaluinya. Kini, hamba lebih kuat dan bersedia untuk mengubah situasi. Puas juga hamba merantau ke kampung-kampung berdekatan untuk menuntut dari guru mahupun pendekar yang serba tahu, serba pandai. Puas juga hamba mencari penawar untuk sakit-sakit dalaman yang kian memberat. Syukur pada Tuhan dengan limpah kurniaNya dapat juga sakit hamba ini terubati. Al-kisahnya, hamba dapat berjalan jauh ke negeri Inderapura bersama sahabat-sahabat lama dari Kampung Pinang Sebatang. Sememangnya sudah lama tidak berpergian sejauh itu. Perjalanan kami hanyalah memakan masa beberapa hari sahaja. Akan tetapi, perasaan hamba benar-benar memekar dengan gembiranya. Seumpamanya bertemankan cahaya mentari dan kilauan air laut yang membiru. Bisakah tuan hamba rasakan perasaan hamba seindah pelangi itu?

Tuan hamba,
Alangkah bahagianya hamba mendengar khabar yang tuan hamba bakal pulang. Kata orang, mungkin sepurnama, ada juga menduga kurang dari itu. Harapan hamba, tuan hamba pulanglah ke negeri bertuah ini secepatnya, negeri tanah tumpahnya darah kita. Sekian lama tuan hamba berbakti di negeri orang, pulanglah untuk negeri ini. Negeri ini untuk mereka yang sudi memberi. Negeri ini lahir dari hati yang tulus suci untuk hati yang murni dan dipercayai.

Dan hamba akan setia menanti....


M.S
Hamba Allah yang hina
Negeri Kite

Comments

arissa myana said…
madah pujangga yang hanya tuan emunya diri yang paling tahu hujung pangkal pokok penceritaan ceritera.

tiada titipan lanjutan, hanya harapan semoga kakak terus kuat.

from Paris, with love :)
from Paris? mcm2 perkara berlaku yg harus diungkapkan dgn bahasa kiasan yg tinggi.tapi tidaklah terlalu tinggi kan? satu hari, andai Allah benarkan kita bercerita, kak cerita dgn layman term. bahasa kita.... cik arissa myana x ke mana2 tahun ini?

Popular Posts