Mus'ab bin Umair-I dont know how he did it.
Sempitnya dunia
Saya terasa seolah-olah seperti Kaab bin Malik yang dihukum hingga dunia yang luas ini terasa kecil dan sempit sekali. Ini kerana dia berlengah untuk ke perang Tabuk hingga terlepas peluang itu. Setibanya Rasulullah di Madinah, pengakuan beliau dan 2 sahabat yang lain menyebabkan mereka dihukum Allah untuk tidak sesiapa pun berinteraksi dengan mereka selama 50 hari. Seakan dunia ini melipat-lipat dan dada terasa amat sempit sekali. Sejujurnya, pemergian kali ini telah saya ketahui agak lama, cuma tidak pasti. Anggapan saya bahawa tidak akan syarikat saya ini begitu bermurah hati men'sponsor' perjalanan untuk menghadiri kursus di negara Uncle Sam ini. Perjalanan yang jauh dan saya tidak tahu apakah yang akan menanti di sana. Seperti Kaab barangkali yang menyangka kudanya dapat mengejar pasukan yang telah pergi dahulu, saya juga beranggapan pengalaman lalu cukup untuk saya berani menempuh perjalanan kali ini. Jaulah ini menuntut peperangan bukan sahaja secara fizikal, malah lebih kepada perang perasaan yang berkecamuk. Betapa menjadi impian untuk saya menjejakkan kaki ke sini, malah berangan-angan untuk bersama-sama anak-anak yang jauh di mata, bermuayasyah, berbicara penuh mesra dan mengimbau kenangan dan memori bersama.
Saya dahulu amat bercita-cita agar saya dapat tinggal lebih lama di sini semata-mata untuk bersama-sama dengan akhawat di sii. Belajar tentang waqie, belajar tentang cara hidup, belajar tentang bagaimana dakwah di sini bermula. Saya amat ingin tahu dari dasarnya bukan hanya di atas permukaan yang nampak begitu mudah. Saya ingin merasai bagaimana susah payah yang diceritakan lewat skype kami setiap minggu. Saya juga ingin menghirup indahnya perasaan bilamana ukhuwah itu tercipta, terasa hangatnya dan bertemu empat mata. Ternyata UO itu terlalu kaku dan menghukum tarbiah itu sendiri.
Berat
Namun, beberapa hari selepas saya dipastikan harus ke sini, saya jadi begitu resah. Dalam hati ada rasa yang tidak settle. Saya seolah mahu habiskan sahaja kursus disana dan pulang seolah tiada apa. Malah, saya ingin menyatakan hasrat untuk di berpergian walaupun untuk menghadiri course. Saya menangis mengadu kepada mak betapa saya berat untuk berpergian. Dengan perasaan berat itu ternyata saya tidak bersedia hatta menyiapkan baju-baju untuk dibawa ke sana. Menjelang hari akhir barulah saya memasukkan baju yang dikira lojik untuk dipakai di sini. Walaupun saya tahu benar bagaimanakah keadaan di sini, saya hanya membiarkan masa berlalu dan menyiapkan seringkasnya apa yang perlu.
Perjalanan yang memakan masa lebih 24 jam itu termasuk transit 4 jam di Dubai menjadikan saya dan kawan seofis begitu penat. Penat kerana hanya duduk - duduk sahaja di dalam flight. Keadaan kami yang mendapat seat berdekatan dengan tingkap dan berasingan tempat duduk menyukarkan kami untuk keluar masuk. Sempat saya menghabiskan mp3 salam.fm dan juga menulis nota untuk naqibah saya beserta menghabiskan separa masa dengan mendengarkan al-Quran. Kami sampai di JFK airport dengan selamat, Alhamdulillah.
Melihat suasana airport di negara yang saya kira maju ini agak menyedihkan. Saya melihat pakcik-pakcik yang sudah tua masih gagah bekerja membawa kerusi roda, dan yang pastinya kerusi roda itu agak usang, seusang airport tersebut. Kelihatan juga pekerja-pekerja kulit berwarna yang sibuk menyusun kami supaya tetap dalam barisan. Hanya mereka yang duduk dibelakang komputer bertanya itu ini berkulit putih. Masih lagi dengan dasar Apartheid tidak rasmi? Atau perbezaan kasta itu masih kelihatan... Lebih mengejutkan saya apabila troli di sana pun terpaksa dibayar dengan harga USD5. Sedia maklum mereka yang datang ke sini membawa sebeban luggage yang bukan ringan. Saya memilih untuk tidak membayar dan mengangkut sahaja beg keluar dar airport. Dan sesi mencekik darah tidak berhenti di situ...
Every cent counts
Sedia maklum juga, di negara ini sudah terbiasa dengan pemberian tips yang boleh dikira tetap juga kadarnya yakni 10% dari jumlah tambang/service yang dikenakan. Maka, simpan setiap sen yang anda ada kerana harga yang terpapr di tag harga hanyalah harga asas tanpa tax ataupun tips yang harus dihulurkan. Saya hanya menggelengkan kepala sahaja bilamana teksi yang kami naiki bertambah kadarnya lebih dari harga awal yang dikatakannya. Dengan senyuman, pakcik itu mengatakan selebihnya adalah tips...hurm... Kenangan manis-manis pahit bermula bila kami menjejakkan kaki di bilik hotel.
Pengalaman di negara Uncle Sam: Episode 1
Comments